SEKIRANYA ANDA DALAM DILEMMA DENGAN STATUS KESIHATAN ANDA,SEGERALAH DATANG KE KLINIK KESIHATAN YANG BERDEKATAN UNTUK PEMERIKSAAN DAN RAWATAN LANJUTAN.TINDAKAN TEPAT INI  MUNGKIN DAPAT MENYELAMATKAN NYAWA ANDA DAN ORANG-ORANG LAIN DI SEKELILING ANDA.  KESIHATAN ANDA MATLAMAT KAMI
 

4,732 kes denggi,18 kematian dilapor
(Utusan Malaysia - 20 Julai,2004)

                                            
Kuala Lumpur - Sebanyak 4,732 kes denggi dengan 18 kematian dilaporkan sehingga 26 Jun tahun ini berbanding 5,064 kes dengan 18 kematian yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan,Lee Kah Choon berkata,negeri yang melaporkan kes demam denggi tertinggi ialah Selangor (1,229 kes),Perak (933 kes), Johor (686 kes),Wilayah Persekutuan (415 kes) manakala negeri-negeri lain melaporkan peratus kes yang kurang dari lapan peratus.
Beliau berkata,sepanjang tahun lepas sebanyak 15,442 kes denggi dan denggi berdarah dilaporkan dengan 72 kematian.Jangkitan berlaku di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang paling tinggi berbanding dengan kawasan luar bandar.Kerajaan sukar mengawal penularan penyakit itu kerana orang awam tidak peka dengan kebersihan alam sekitar menyebabkan nyamuk aedes mudah membiak.
Bagi langkah pencegahan,sepanjang tempoh enam bulan tersebut sebanyak 1.238 juta premis telah diperiksa,4.8 juta premis telah disembur kabus manakala 59,000 premis diletak kan ubat membunuh pembiakan jentik-jentik nyamuk.6,288 kompaun bernilai RM900,000 telah dikeluarkan dan sebanyak RM246,000 telah dikutip.3,400 notis telah dikeluarkan kepada individu yang berpotensi membiakkan nyamuk aedes.
 

Minyak masak terpakai punca darah tinggi

(Berita Harian, Selasa – 30  Disember  2003)

 

New York – Kajian terbaru mendapati minyak yang digunakan berulang kali meningkatkan risiko kesihatan.  Penyelidik Sepanyol mendapati orang yang  sering menggunakan semula minyak masak yang sudah terpakai lebih berisiko menghidap penyakit darah tinggi berbanding mereka yang sering menggunakan minyak masak baru bagi setiap masakan.  Kajian juga mendapati penggunaan minyak masak bunga matahari lebih berisiko tinggi  menghidap darah tinggi tetapi penggunaan minyak zaitun kelihatan dapat melindungi seseorang daripada penyakit itu.  Bagaimanapun, penggunaan minyak zaitun yang terpakai akan mengakibatkan kesan baik pada minyak zaitun hilang. 

 

800,000 penduduk hidap diabetes

(Berita Harian, Rabu – 24  Disember  2003)

 

Kota Bharu, Kelantan (Malaysia) – Kajian Kementerian Kesihatan pada 1996 mendapati kira-kira 800,000 rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes yang boleh menyebabkan mati pucuk dan kematian.  Kira-kira 400,000 lagi orang dewasa berkemungkinan menghidap penyakit itu jika tidak diberi perhatian dan mendapat rawatan kesihatan.  Apa yang membimbangkan  diabetes dikenal pasti penyebab utama kematian kesan penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, angin ahmar dan pelbagai penyakit sampingan lain.

 

4 daerah berisiko diserang penyakit untut

(Berita Harian, Rabu – 24  Disember  2003)

 

Kampung Gajah, Perak (Malaysia) – Empat daerah di negeri ini iaitu daerah Hulu Perak, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar dikenal pasti sebagai kawasan berisiko  tinggi penyakit untut bawaan nyamuk mansonia yang membiak di kawasan berpaya.  Daerah terbabit mempunyai kawasan berpaya dan menjadi tempat pembiakan nyamuk tersebut.  Gigitan nyamuk mansonia betina menyebabkan jangkitan cacing mikrofilaria yang menjadi punca penyakit untut.  Sehubungan dengan itu gerakan memberi ubat albandazole dan DEC secara berkumpulan sedang dijalankan di kawasan berkenaan oleh kakitangan pejabat kesihatan daerah sebagai pencegahan penyakit untut.

 

Saintis dakwa temui jawapan denggi

(Berita Harian, Isnin – 16 Jun 2003)

 

Paris – Sekumpulan saintis Britain dan Thailand mendakwa mereka menemui jawapan bagaimana demam denggi bawaan nyamuk Aedes dengan 50 juta penghidap setahun, boleh menjadi penyakit maut.  Menurut penyelidik, mereka yang diserang penyakit itu dua kali dikesan mengalami simptom atau gejala lebih teruk pada kali kedua.  Berdasarkan kajian ke atas sukarelawan Thai yang menghidap denggi, mereka yang mengalami buat kali kedua berdepan dengan kuman jenis lain berbanding kali pertama.  Mereka dikesan mempunyai jumlah sel T (pertahanan utama badan terhadap bahan asing) yang amat sedikit, sedangkan sel berkenaan amat penting untuk melawan kehadiran kuman berkenaan.  Sehubungan itu, mereka berpendapat, cabaran utama adalah mencari ciri-ciri tertentu pada setiap antibodi dan menggerakkan sel T itu untuk melawan penyakit berkenaan. Jika berjaya mengenalpastinya, berkemungkinan besar usaha mewujudkan  penawar denggi dapat menjadi kenyataan.

 

Virus berubah punca kes denggi naik
(Berita Harian, Rabu – 12 Mac  2003)

Perubahan jenis virus denggi dikenal pasti antara faktor menyebabkan peningkatan kes demam denggi dari 1998 hingga 2002.Menurut Menteri Kesihatan, mulai 2001, virus DEN3 dikesan menjadi lebih ketara, menyebabkan ramai penduduk yang tidak mempunyai antibodi DEN3 dijangkiti demam denggi.  Peningkatan kes demam denggi juga berpunca daripada hujan dan panas sepanjang tahun, menyebabkan ia sesuai untuk pembiakan nyamuk.

 


Penemuan baru bantu cegah malaria

(Utusan Malaysia, Rabu – 5 Mac  2003)

 

Melbourne (Australia) – Sejenis bahan semulajadi yang dikeluarkan oleh tubuh badan dan juga terdapat dalam makanan biasa mungkin merupakan bahan utama membantu mencegah malaria.  Para penyelidik Australia percaya Arginine, yang terdapat dalam kekacang dan nasi, bahan penting untuk menghasilkan nitrik oksida – sejenis parasit yang boleh membunuh parasit.  Kemungkinan arginine dapat digunakan dimasa depan sebagai pelengkap kepada ubat-ubatan antimalaria untuk mencegah dan merawat komplikasi  akibat malaria.

 


Denda biak nyamuk Aedes naik

(Berita Harian, Isnin – 3 Mac  2003)
 

Hutan Melintang (Malaysia) – Kompaun RM100 kerana kesalahan membiak nyamuk akan dinaikkan untuk meningkatkan kesedaran rakyat negara ini terhadap kepentingan membasmi nyamuk Aedes.  Kementerian Kesihatan sedang menimbangkan menaikkan kompaun itu ke satu kadar, sehingga ia mampu menyedarkan orang awam mengenai pentingnya nyamuk Aedes untuk dibasmi secara bersungguh-sungguh.

 


Belum ada vaksin bagi virus denggi ditemui

(Berita Harian, Selasa – 21  Januari 2003)
 

Kuala Lumpur (Malaysia) – Sehingga kini belum ada sebarang vaksin intuk mencegah virus denggi termasuk DEN-3, yang menyebabkan pertambahan kejadian kes demam denggi di seluruh negara.  Sumber Kementerian Kesihatan memberitahu,pada masa ini, usaha menghasilkan vaksin bagi virus denggi – DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4 – masih pada peringkat penyelidikan dan belum ada sebarang vaksin yang diluluskan.  Cara lain untuk mencegah daripada dijangkiti penyakit denggi itu ialah dengan menjaga kebersihan dan menghentikan pembiakan nyamuk Aedes.
 

 

Aedes ganti 1,260 penghuni rumah pangsa

(Berita Harian, Rabu – 15  Januari 2003)

 

Rumah pangsa di Pusat Bandar Indera Mahkota, Kuantan yang telah dikosongkan oleh 1,260 penghuninya pada 1994 selepas struktur bangunannya disahkan sebagai tidak selamat, kini menjadi sebutan kembali apabila isu demam denggi melanda negara.  Rumah pangsa itu kini ibarat ‘lubang maut’ selepas seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang tinggal berdekatan, mati menghidap denggi, 2 Januari lalu.  Flet kosong, usang, kotor dan dilingkari semak samun itu sudah terbiar begitu lama meskipun di tengah-tengah kawasannya masih ada ratusan penduduk dibenar tinggal di deretan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.  Sejak kisah kanak-kanak malang itu dipaparkan , ramai tertumpu semula ke situ.  Tidak kurang juga yang menuding jari menyalahkan sesama sendiri kononnya kerana lambat bertindak.

 

 

Bantu kerajaan cegah denggi - PM

(Utusan Malaysia, Isnin – 13  Januari 2003)

 

Kampar,  (Malaysia) – Perdana Menteri Malaysia, menggesa rakyat agar tidak meletakkan sepenuh tanggung jawab kepada kerajaan dalam mencegah wabak denggi yang melanda negara pada masa kini.  Masyarakat umum seharusnya memberi kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bagi membantu usaha kerajaan mencegah wabak penyakit tersebut dari terus merebak.  Menurut beliau lagi, rakyat harus sedar bahawa wabak sesuatu penyakit itu tersebar berpunca daripada kecuaian anggota masyarakat itu sendiri.

 

 

Denggi disahkan punca kematian Jamaluddin

(Berita Harian, Khamis –  9  Januari 2003)

 

Kuala Lumpur (Malaysia) – Bekas Eksekutif TV3, Jamaluddin Johari berusia 44 tahun yang dikatakan cuma demam biasa sewaktu menerima rawatan pada 29 Disember di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) telah meninggal dunia kelmarin dan disahkan akibat denggi berdarah.  Menurut isteri Allahyarham, suaminya hanya dimasukkan ke wad selepas kali ketiga ke HUKM apabila mulutnya mengalami jangkitan dan pendarahan.  Doktor mengesahkan suaminya menghidap denggi berdarah, tetapi virus telah merebak ke hati.

 

 

Tiada kaedah lain hapus Aedes

(Berita Harian, Isnin  –  6 Januari 2003)

 

Kuala Lumpur (Malaysia) – Walaupun kes denggi semakin meningkat, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kaedah lain bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes kecuali menggunakan semburan kabus (ULV).  Kaedah semburan kabus (ULV) bersifat sementara kerana ia hanya membunuh Aedes dewasa dan bukannya menghalang pembiakan serangga berkenaan daripada peringkat larva.  Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah mencipta sejenis Alat Perangkap Pembiakan Jentik-Jentik (MLTD) bagi mengawal kepadatan pembiakan nyamuk Aedes.  DBKL juga diminta membuat kerja susulan dengan Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat mengenai kejadian denggi di ibu kota bagi membolehkan kerja semburan dilakukan di kawasan kediaman mangsa.

 

 

Pelbagai kaedah elak demam denggi

(Berita Harian, Khamis – 2 Januari 2003)

 

Memandangkan kes demam denggi yang dikatakan semakin meningkat, langkah pencegahan dan pengawasan demam denggi perlulah diambil berat oleh setiap individu dan tidak hanya berharap kepada pihak berkuasa sahaja.  Menurut sumber laman web, dua jenis denggi yang serius ialah Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).  Penularan virus denggi itu dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes betina yang dijangkiti.  Virus denggi mengalir di dalam darah manusia yang dijangkit untuk tiga hingga 14 hari (purata 4 hingga 6 hari).  Di antara cara pencegahan nyamuk Aedes ini ialah membersihkan kawasan kediaman, pastikan tayar, longkang, tin dan lapik pasu sentiasa kering, telangkupkan  bekas yang berkemungkinan menakung air, menggunakan kelambu ketika tidur dan mengawasi pusat pelupusan sampah.